salam

Monday, July 20, 2009

Kerani gigi..? (^_^)

Lama sudah saya tinggalkan alam maya. Semenjak habis kontrak kerja pada hujung tahun lalu, hanya beberapa kali saya menjengah ke dunia tanpa sempadan ini. Itu pun hanya sekadar sekali lalu. Almaklumlah talian internet di rumah slow. Pernah sekali, baru je saya dial up, tiba-tiba suis di soket utama tertendang. Saya cuba kali ke dua, sama sahaja. Apa kaitan mahu dial up internet dengan soket utama, saya pun kurang jelas. Mungkin modem saya ada masalah, menyebabkan gangguan pada aliran elektrik. Apa yang pasti, saya tidak berani untuk mencuba kali ketiga. Takut soket meletup, bimbang terjadi kebakaran pula. Adik Jie sudah beberapa kali bertanya "Bila akak nk update blog?" "Mana posting terbaru akak?". Maaf ya dik, ada aral melintang ketika itu.



Jun lalu, syukur alhamdulillah, saya ditawarkan kerja tetap. Dengan tahap pendidikan saya yang ala kadar ni, saya ditugaskan di sebuah klinik pergigian. Hehehe saya bukanlah seorang doktor gigi atau staf nurse mahupun pembantu pembedahan pergigian, saya hanyalah seorang kerani dan tempat saya di kaunter klinik. Untuk gaji pertama, saya belikan hadiah untuk diri sendiri. Lama sudah saya menunggu untuk beli broadband, hehehe tercapai juga... Alhamdulillah...




Sebulan saya bekerja, memerlukan saya untuk berinteraksi dengan orang ramai. Berbagai-bagai ragam dan karenah manusia yang saya ketemu. Tetapi bukan itu yang saya ingin katakan untuk kali ini. Apa yang lebih menarik perhatian saya ialah pemehatian saya pada gelagat mereka yang bergelar ibu bapa. Kaunter pergigian terletak berhampiran dengan klinik kesihatan ibu dan anak. Oleh yang demikian, saya kerap melihat situasi dimana ibu bapa membawa bayi mereka yang mesih kecil untuk pemeriksaan kesihatan. Ada ketikanya si ibu perlu menemui doktor dan akan menyerahakan anak pada si ayah. Melihat gelagat si ayah yang masih teragak-agak untuk memegang bayi yang masih merah, hati saya tercuit. Dan kemudian saya melihat si ayah akan cuba untuk tidak banyak bergerak ketika memegang bayi, mata si ayah hanya memandang anaknya, si ayah benar-benar mahu memastikan anaknya berada dalam keadaan selesa...




Hati saya berbisik, 'duhai anak, alangkah bagusnya andai dirimu dapat melihat kembali detik-detik ini ketika kamu sudah dewasa nanti. Kamu akan melihat betapa besarnya kasih sayang ibu dan ayahmu...'. Saya teringat pada mak dan ayah di Shah Alam. Rindunya pada mereka berdua...