"emm nak letak apa lagi ye? cukup ke letak madu dan garam je?"
Akhirnya, saya capai lada sulah, sos tiram dan kicap, saya tuang ke dalam mangkuk yang berisi kepak ayam...entah apa rasanya nanti, saya pun tidak pasti...
Selepas sejam diperap, jeng jeng jeng, masa untuk goreng. Kepak ayam diletakan ke dalam kuali. Wahhh baunya, wangi sangat. Kembang kempis hidung dibuatnya, tidak puas menghidu. Bibir sudah menguntumkan senyuman...
"menjadi juga resepi ciptaan sendiri ni...hehehe"
Then, saya masuk sekejap ke ruang tamu, tengok tv. Rasanya, tidak sampai 10minit pun kuali ditinggalkan, bau hangit mula menusuk hidung...Saya sarung semula selipar dapur, menuju ke kitchen dan ....
"ayam...kenapa jadi macam ni? kenapa jadi hitam?"
Huwaaa sedihnya...nampaknya menu berbuka puasa untuk pada hari itu perlu ditukar. Terkilan kerana Ayam Madu tidak menjadi, saya menuju ke bilik, mencapai handphone di atas almari.
"Assalammualaikum pcik. Pcik shat? Mcik n Thoib shat? Pcik, Taz rindu kat ayam madu yg mcik slalu goreng dulu. Taz puasa ari ni, Taz teringin nk mkn ayam madu masa berbuka nti. Tp Taz xtau camne nk bt, Taz main letak je madu, lada sulah, sos tiram n kicap. Mula2 wangi, pastu hangit...Api besar kot..."
sent...
Tidak lama kemudian, ada sms diterima...
"Waalaikummusalam Fytaz..Kami semua sihat. Kasihan Fytaz, nak mkn ayam madu utk berbuka tp ayam dah hangit...Xpe, jgn sedih, ada hikmah disebalinya, pasti Allah menggantikan dgn gnjaran yg lbih baik dr itu...Bsabar ye syg..."
Saya tersenyum sendiri membaca sms dari pakcik Shamsuri. Dulu, terkejut juga bila dipanggil 'sayang', tapi saya lekas faham. Pakcik sudah menganggap saya seperti anak sendiri. Dan jika ditanya pada diri sendiri, saya juga sayangkan pakcik seperti saudara sendiri. Sedangkan antara kami, tiada pertalian darah pun. Cuma sekadar saudara seislam.
Perkenalan kami bermula apabila saya menumpang di rumahnya untuk menyiapkan projek akhir. Pakcik Shamsuri merupakan saudara sahabat saya, Dzawani. Pada mulanya, saya memang berat hati untuk menumpang di rumah orang. Memang sejak kecil saya dididik untuk tidak bertandang ke rumah orang tanpa sebab. Andai berziarah pun, harus tahu waktu dan ketikanya agar tidak mengganggu tuan rumah. Ini pula mahu tidur terus di rumah orang yang saya tidak kenal, bukan saudara, lama pula tu, mungkin untuk seminggu dua. Namun, setelah didesak oleh Dzawani, ditambah pula oleh jaminannya bahawa pakcik Shamsuri tidak akan marah malah dia sendiri mengalukan kedatangan saya, akhirnya saya akur. Sebenarnya ada satu lagi perkara yang membuatkan saya untuk bersetuju iaitu menurut Dzawani kami perlu mengenakan tudung sepanjang berada di rumah pakcik. Saya tersenyum, malah saya suka benar. Bukankah itu wajib bagi muslimah Islam?
Sepanjang berada di rumah pakcik, saya dapat melihat beberapa karakter diri bagi lelaki yang bergelar Haji Shamsuri ini. Pakcik seorang yang peramah tetapi setiap tutur kata yang keluar dari bibirnya sangat berhemah, andai ada soalan peribadi yang ingin dia tahu, dia akan mulakan pertanyaannya dengan "Fytaz, pakcik minta maaf ye, pakcik nak tanya........." . Pakcik juga pandai bergurau, suka bikin orang tersenyum. Antara kenangan yang saya ingat, pada suatu pagi, sedang kami hendak berangkat ke kuliah, saya terpandang pada plat kereta pakcik 'ABC ***' . Lantas saya berkata, " eh pakcik, kereta pakcik ABC la, kereta Air Batu Campur". Dengan laju pakcik menjawab "bukan Air Batu Campur la Fytaz, tapi Aku Beli Cash, hehehe nakal kau ye". Saya tersenyum, pandai betul lelaki yang sudah bergelar atuk ini mengenakan saya semula.
Pertama kali saya menjamu hidangan di rumah pakcik, terdetik dalam hati " eh, cukup ke hidangan banyak ni je?". Astagfirullahalazim, bisikan syaitan di hati hampir-hampir membuatkan saya menjadi hamba Allah yang tidak bersyukur. Sebenarnya, saya terkejut, iyalah sebelum ini, bila makan mesti mahu kenyang. Makan berlandaskan nafsu, begitulah. Tetapi hakikatnya, apabila makan bersama pakcik, makan secara berjemaah, didahului dengan bacaan doa yang diketuai oleh anaknya Thoib, makanan menjadi lebih berkat, tetap kenyang juga, malah hati terasa riang...
Untuk menyiapkan projek, terpaksa tidur lewat. Saya turun ke dapur untuk membancuh air nescafe bagi hilangkan mengantuk. Sedang leka mengacau air, pakcik masuk ke dapur untuk ke tandas. Rupanya pakcik mengambil wudhu' untuk menunaikan solat tahajjud. Malu pula rasanya, saya bersama air nescafe, sedangkan pakcik bersama air wudhu' nya...
Saya suka benar apabila melihat pakcik dan makcik ketika mereka berkomunikasi. Saya benar-benar tertarik. Tahu mengapa? Mereka sudah mendirikan rumah tangga bertahun lamanya, bahkan sudah bergelar atuk dan nenek. Tetapi, saya belum pernah lagi berjumpa isteri yang masih 'malu-malu' persis Pengantin Baru. Yang saya selalu jumpa, belum pun bergelar isteri, sudah tidak tahu malu adalah. Tetapi makcik lain, setiap tutur kata dari suami, akan disambut dengan senyuman, lirikan mata yang penuh dengan kasih sayang dan kemudian dibalas dengan ucapan yang lembut...! Benar...! Itu yang saya lihat...! Memang pakcik dan makcik pasangan suami isteri yang bahagia. Semoga kalian sentiasa dalam rahmat Allah, sentiasa disatukan di dunia dan akan ditemukan semula di jannah... Ameen....
Ada satu ketika di rumah pakcik, saya hampir-hampir menitiskan air mata. Hati saya benar-benar tersentuh. Di rumah itu, selain pakcik, makcik dan anak bongsunya yang ketika itu berada di darjah enam Thoib, pakcik juga menjaga ibunya yang sangat tua, sangat uzur dan daya ingatannya adakala terganggu. Pada satu malam, dari sebalik pintu (boleh aje jika saya mahu tunjukan diri, tapi pada malam itu saya memilih untuk 'mengintai') saya melihat pakcik duduk di sisi tilam ibunya. Ibu pakcik pula siap bertelekung, duduk di atas tilam. Badannya bongkok dan bergoyang-goyang dek keuzurannya. Pakcik dengan lembut, dengan sabar, melafazkan satu-persatu bacaan dalam solat, bacaan dalam solat yang dilafazkan akan diikuti satu-persatu oleh ibunya... Ya Allah, mulianya hati pakcik ini bergelar seorang anak. Untungnya ibu itu kerana mempunyai permata hati seperti pakcik... Bahkan, ibu itu, walaupun ingatannya sudah terganggu, tapi masih lancar melafazkan kalimah kebesaranMu Ya Allah...
Setelah beberapa bulan menamatkan pengajian, saya dapat sms dari Dzawani, mengatakan pakcik sakit. Mata kiri pakcik sudah tidak nampak... Bergetarnya jiwa ini hanya Allah sahaja yang tahu. Ketika saya dan keluarga datang menziarah, makcik beritahu pada saya, menurut doktor, saraf mata pakcik terganggu mungkin kerana sering berjaga malam kerana menemani ibunya, ditambah pula pakcik juga sudah tua, memang kesihatannya akan menurun. Tidak mengapalah pakcik, ujian dari Allah tanda Allah sayangkan pakcik, untuk mengangkat darjat pakcik. Pakcik bersabar ya, ada hikmah besar disebalik kehilangan nikmat untuk melihat dengan sempurna... Saya sayangkan pakcik, makcik cintakan pakcik, anak-anak kasihkan pakcik, ibu pastinya lebih besar sayang, cinta dan kasih pada pakcik. Dan saya yakin, lebih besar lagi sayang, cinta dan kasih Allah terhadap pakcik... insyaAllah...
p/s : Pujian yang berlebihan adalah racun. Sesungguhnya, catatan ini bukanlah untuk memuji, sekadar berkongsi secubit kisah dalam perjalanan, untuk diteladani...